Blogger Backgrounds

Sunday 30 October 2011

Tekanan Emosi Remaja Islam


Masyarakat yang tertekan emosinya akan menunjukkan gejala seperti agresif,
mudah memberontak, marah yang tidak dapat dikawal, kemurungan, penyakit
mental dan membunuh diri. Pendekatan dakwah Islamiah adalah salah satu
bentuk sokongan yang boleh membantu menangani masalah tekanan emosi
remaja. Kajian ini dilakukan ke atas remaja di Kajang Selangor Darul Ehsan
adalah bertujuan untuk mengkaji sama ada remaja mengalami tekanan atau
pun tidak berdasar kepada simptom-simptom tekanan yang meliputi aspek
psikologi, fisiologi dan tingkah laku sosial. Selain daripada itu, kajian ini turut
mengkaji faktor-faktor utama tekanan dan cara-cara remaja menangani tekanan
sama ada cara positif atau negatif. Untuk mencapai tujuan ini, analisis telah
dilakukan ke atas 403 orang responden yang terdiri daripada remaja lelaki
dan perempuan yang berumur 16-17 tahun. Data yang diperlukan dikumpulkan
melalui soal selidik dan temubual berstruktur. Analisis data menggunakan
kaedah statistik deskriptif yang dijelaskan dalam bentuk jadual dan gambarajah
dengan huraiannya dalam bentuk kekerapan dan peratusan. Hasil kajian
menunjukkan bahawa remaja memang ada mengalami tekanan emosi yang
majoriti remaja menunjukkan simptom dari aspek psikologi. Hasil kajian ini
turut mendapati bahawa faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah faktor
keluarga dan faktor persekitaran. Manakala dari aspek menangani tekanan
pula, kebanyakan remaja menggunakan cara yang positif.
Dari perspektif Islam, remaja dianggap sudah cukup umur atau diistilahkan
sebagai baligh. Pada peringkat remaja, golongan ini mengalami peralihan zaman,
antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Pada peringkat usia remaja,
berlaku perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan
emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Untuk mengimbangi
perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah
dan konflik. Dengan sebab itu, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam
diri remaja.
Bagi remaja yang bersedia dengan kehadiran masalah dan sanggup
menerimanya dengan hati terbuka, mereka berjaya menerima perubahanperubahan itu sekalipun kadang kala pahit baginya. Tetapi bagi sesetengah
remaja pula, tidak berupaya menyesuaikan atau menerima dengan mudah
perubahan tersebut, lalu menunjukkan gangguan psikologi pada dirinya.
Keadaan ini boleh menimbulkan ketegangan dan tekanan kepada emosi remaja.
Akibat dari tekanan yang dialami, remaja mungkin menunjukkan sikap yang
agresif, mudah memberontak, marah yang tidak dapat dikawal, kemurungan
dan terlibat dengan masalah sosial seperti merokok, lumba haram dan dadah
bagi melepaskan rasa tertekan.
Dari perspektif dakwah, remaja yang mengalami tekanan emosi terdedah
dengan masalah mental sekiranya permasalahan ini tidak ditangani lebih awal.
Golongan remaja ini merupakan golongan yang perlu diberi perhatian dan tidak
boleh diabaikan dalam usaha dakwah. Namun begitu, untuk mendapatkan
keberkesanan dakwah, pendakwah perlu membuat kajian bagi mengenal pasti
masalah yang dihadapi oleh remaja dan faktor-faktor yang menjadi punca
kepada permasalahan tersebut. Di samping itu, pendakwah perlu memahami
perkembangan psikologi remaja supaya dakwah yang disampaikan memberi
kesan jauh ke dalam diri golongan ini. Untuk mendapatkan dakwah yang
berkesan, pendekatan yang digunakan juga haruslah bersesuaian dan menarik
minat kepada golongan ini.
Oleh itu, dari perspektif dakwah kajian ini melihat dari tiga sudut iaitu
mengenalpasti dan memahami permasalahan sasaran dakwah (mad’u) iaitu
golongan remaja, pendekatan dakwah (manhaj dakwah) yang sesuai untuk
remaja yang mengalami tekanan emosi dan sudut pendakwah (da’i), iaitu
bagaimana pendakwah boleh membantu remaja untuk menangani tekanan emosi.





0 comments: